DUNIA

DEEPSEEK, AI DARI CHINA, KEJUTKAN INDUSTRI TEKNOLOGI GLOBAL, PEMAIN UTAMA

29/01/2025 09:24 PM

ANKARA, 29 Jan (Bernama-AA) -- Chatbot kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek, semakin mendapat perhatian di peringkat global, mencabar kedudukan ChatGPT milik OpenAI meskipun beroperasi dengan sumber yang jauh lebih terhad, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kepopularan model AI ini melonjak di gedung aplikasi mudah alih, mengatasi ChatGPT di beberapa pasaran utama termasuk Amerika Syarikat, sekali gus menonjolkan kecekapan kos dan keberkesanannya.

Kejayaan DeepSeek mencetuskan perbincangan dalam industri teknologi kerana ia beroperasi dengan hanya sebahagian kecil daripada sumber yang digunakan pesaingnya.

Berbeza dengan syarikat AI gergasi lain yang bergantung pada lebih 16,000 cip berteknologi tinggi, DeepSeek dibangunkan menggunakan hanya 2,000 cip generasi lama, susulan sekatan eksport cip yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap China.

Meskipun berdepan kekangan itu, model berkenaan dilatih dengan peruntukan kurang daripada US$6 juta – jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan sekitar US$100 juta yang dilaporkan untuk model ChatGPT terkini oleh OpenAI.

Prestasi DeepSeek yang mampu menyaingi peneraju industri seperti Google dan OpenAI menjejaskan pasaran saham syarikat teknologi utama, terutamanya dalam sektor semikonduktor.

Pada Isnin, harga saham gergasi cip Amerika, Nvidia merosot mendadak kepada US$117.26, menandakan kejatuhan harian terbesar sejak Mac 2020.

Permodalan pasaran Nvidia turut merudum lebih US$500 bilion – rekod kerugian pasaran  terbesar sehari dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat.

Kejayaan tidak dijangka DeepSeek ini menghangatkan semula perdebatan mengenai kecekapan kos model bahasa berskala besar (LLM) dan impaknya terhadap dominasi firma teknologi Barat dalam inovasi AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, mengumumkan perancangan untuk melabur antara US$60 bilion hingga US$65 bilion dalam infrastruktur AI tahun ini, manakala  Presiden AS Donald Trump, menyifatkan DeepSeek sebagai "amaran" buat Silicon Valley, menggesa syarikat teknologi Amerika meningkatkan daya saing mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman mengakui pencapaian DeepSeek dengan menyatakan di platform X bahawa model itu adalah "mengagumkan, terutama dari segi apa yang mereka mampu hasilkan dengan kos yang lebih rendah."

“Kami tentunya akan menghasilkan model yang jauh lebih baik, tetapi kehadiran pesaing baharu ini memberi inspirasi,” katanya.

-- BERNAMA-AA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan