AM

SIKAP BERWASPADA PENTING DALAM TINGKAT KESELAMATAN KOMUNITI - LEE LAM THYE

30/01/2025 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Sikap berwaspada terus menjadi perkara penting dalam mengekal dan meningkatkan keselamatan komuniti dengan memastikan orang ramai sentiasa peka terhadap sebarang bahaya atau aktiviti mencurikan yang berlaku di sekitar mereka.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata sikap berwaspada membantu mencegah jenayah, mengurangkan risiko kecederaan dan menyelamatkan nyawa selain memupuk rasa tanggungjawab bersama, menggalakkan dalam kalangan jiran untuk saling menjaga dan bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan persekitaran selamat.

“Menjaga keselamatan bukan semata-mata tugas polis atau kerajaan, sebaliknya tanggungjawab bersama. Apabila semua pihak memainkan peranan aktif dalam melindungi komuniti kita, maka kita akan mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua.

"Libatkan diri dalam program komuniti seperti menyertai pasukan rondaan kawasan kejiranan atau menjadi sukarelawan dalam inisiatif keselamatan tempatan, selain amalkan langkah keselamatan dengan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya, melindungi harta benda anda dan mengelak tingkah laku yang berisiko," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata mendidik kanak-kanak dan rakan sebaya berkaitan langkah-langkah pencegahan keselamatan sangat penting kerana setiap tindakan bertanggungjawab yang kecil memberikan kesan yang besar dalam usaha bersama-sama membina komuniti selamat.

Dalam pada itu, Lee turut menyarankan pemilik perniagaan untuk memastikan keselamatan tempat kerja dengan mematuhi peraturan semasa dan menggunakan sistem keselamatan yang lebih canggih untuk melindungi premis mereka daripada sebarang ancaman.

Beliau berkata keselamatan perlu sentiasa diberi keutamaan kerana ia melindungi nyawa dan harta benda, menyokong pertumbuhan ekonomi, mengerat perpaduan sosial, dan meningkatkan kesejahteraan mental.

Walaupun dasar dan penguatkuasaan memainkan peranan penting, katanya inisiatif keselamatan hanya akan berjaya apabila kerajaan memperkasakan komuniti untuk turut serta dalam mewujudkan persekitaran selamat.

Lee berkata pembuat dasar perlu mengutamakan tanggungjawab bersama menerusi pelbagai langkah antaranya rangka kerja perundangan yang menggubal undang-undang untuk menggalakkan penglibatan komuniti seperti program rondaan kawasan kejiranan, pelan kesiapsiagaan bencana, dan tanggungjawab korporat terhadap keselamatan tempat kerja.

"Peruntuk sumber dengan membiayai program keselamatan berasaskan komuniti, kempen pendidikan, serta peningkatan infrastruktur seperti pencahayaan jalan raya yang lebih baik, sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih baik, dan ruang yang lebih mesra pejalan kaki.

“Mereka juga perlu mengukuhkan perkongsian dengan menggalakkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, perniagaan, dan rakyat bagi mempertingkatkan kesan inisiatif keselamatan serta merangka hasil yang dapat diukur untuk memastikan dasar yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan komuniti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan