JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI PAKISTAN LEMAS KETIKA MANDI-MANDA DI PANTAI PORT DICKSON

30/01/2025 03:01 PM

SEREMBAN, 30 Jan (Bernama) -- Percutian sekumpulan pekerja dari Klang, Selangor bertukar tragedi apabila seorang daripadanya ditemukan lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu 5, Port Dickson dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata mayat lelaki warga Pakistan berusia 20-an yang juga pekerja bengkel itu ditemukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 12.20 tengah hari.

Beliau berkata mangsa bersama rombongan menaiki tiga bas ke Port Dickson pada 9 pagi sebelum mereka melakukan aktiviti di pantai berkenaan.

 “Sekitar 12 tengah hari mangsa berenang ke tengah untuk mengambil bola dan hanyut. Mangsa dikatakan terkapai-kapai dan lemas sebelum mayatnya ditemukan pada 3.12 petang oleh pasukan penyelamat. 

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata mangsa dikenali sebagai Wasif Shehzad dan mayatnya ditemukan kira-kira 100 meter dari pesisir Pantai Batu 5, Port Dickson.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan