Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Kelewatan dalam menyambung semula perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada asalnya dijadualkan pada Januari 2025, dilihat sebagai mengecewakan selepas lebih dua tahun menantikannya.
Pakar ekonomi dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) Universiti Kuala Lumpur Prof Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata penjadualan semula ini boleh memberi impak negatif kepada persepsi terhadap KLIA.
Aerotrain, yang menjadi kaedah pengangkutan penting antara terminal lapangan terbang, telah digantung operasinya pada Mac 2023 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf selepas mengalami kerosakan, dengan janji awal untuk memulihkan perkhidmatan tersebut mengikut garis masa ditetapkan pada Tahun Baharu.
Perkhidmatan itu, yang telah beroperasi selama 25 tahun, telah menjadi teras kepada rangkaian pengangkutan dalaman KLIA sejak 1998.
“KLIA adalah pintu masuk utama bagi warga asing, pelancong dan trafik penerbangan. Oleh itu, penting untuk menampilkan imej positif kepada orang ramai,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata kelewatan tersebut boleh memberi impak kepada ekosistem penerbangan berikutan penurunan yang ketara dalam 'nilai keyakinan' boleh menjejaskan daya maju ekonomi.
Jumaat lepas, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan bahawa perkhidmatan Aerotrain akan kembali beroperasi sepenuhnya pada suku kedua 2025. Kelewatan itu tidak akan menjejaskan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
Pada taklimat itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata garis masa asal adalah ‘sasaran yang terlalu tinggi’.
Mohd Harridon menekankan bahawa dalam mana-mana projek, perlu ada usaha wajar yang menyeluruh semasa menetapkan pencapaian dan garis masa untuk memastikan unjuran tarikh akhir yang disasarkan realistik dan saksama mengikut kos yang dipersetujui.
Elemen Keselamatan Terus Jadi Keutamaan MAHB
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan dan jangkaan yang meningkat dalam kalangan penumpang, MAHB berkata pembukaan semula perkhidmatan Aerotrain telah ditangguhkan kerana keperluan untuk langkah-langkah keselamatan tambahan dan penilaian teknikal.
Walaupun penangguhan itu telah menyebabkan kesulitan, ia adalah keputusan yang mencerminkan komitmen pengendali lapangan terbang tersebut untuk mengutamakan keselamatan berbanding memenuhi tarikh akhir yang ketat secara tergesa-gesa. Pujian diberikan kepada pengendali lapangan terbang berkenaan.
Dalam perkara ini, Mohd Harridon memuji MAHB kerana menangani isu tersebut secara proaktif dengan menamatkan kontrak pihak tertentu yang gagal memenuhi pakej kerja yang dipersetujui.
Model unjuran seperti Model Delphi dan Model Causal boleh digunakan dengan sewajarnya untuk mendapat pemahaman yang lebih baik mengenai masalah teknikal yang wujud dan juga boleh memberikan unjuran yang lebih baik mengenai tahap pencapaian.
Model Delphi ialah proses yang digunakan untuk mencapai pendapat atau keputusan kumpulan dengan mendapatkan pandangan daripada panel pakar manakala Model Causal memberikan perspektif strategik mengenai risiko penerbangan yang boleh digunakan sebagai input dalam proses penggubalan dasar.
Sehubungan itu, MAHB telus dalam menyampaikan bahawa penangguhan itu perlu untuk melengkapkan kerja-kerja menaik taraf tambahan dan ujian menyeluruh untuk memastikan sistem Aerotrain memenuhi piawaian keselamatan yang diperlukan.
Berdasarkan kerumitan dan potensi risiko berkaitan sistem pengangkutan berkapasiti tinggi, memastikan keselamatan penumpang perlu diutamakan berbanding pembukaan semula yang tergesa-gesa.
Selain itu, dengan perjanjian penstrukturan semula ​​pengendali lapangan terbang itu yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi, terdapat harapan bahawa ini akan membawa kepada pengalaman perjalanan yang lebih dipercayai dan meningkatkan daya saing MAHB dalam sektor penerbangan serantau dalam jangka panjang.
Mohd Harridon menegaskan bahawa perjanjian penstrukturan semula itu penting untuk meningkatkan kecekapan dalam ekosistem penerbangan di Malaysia.
“Lapangan terbang telah berkembang daripada pusat pengangkutan kepada hab perdagangan dan komersial yang memberikan perkhidmatan kepada penumpang melalui pelbagai cara seperti membeli-belah, pendidikan dan hiburan, makan mewah, persekitaran yang menarik dan perkhidmatan yang memberi impak positif, mewujudkan pusat perdagangan yang berkembang maju dan menyumbang kepada rangsangan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan Aerotrain yang akan kembali beroperasi akan membantu menarik pelabur atau pihak berkepentingan yang seterusnya akan menyokong perjanjian penstrukturan semula itu.
Dalam jangka panjang, pendekatan berhati-hati ini ternyata akan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan dipercayai untuk semua.
-- BERNAMA