AM

25,000 HADIRI RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA PERINGKAT NEGERI SABAH

30/01/2025 04:41 PM

KOTA KINABALU, 30 Jan (Bernama) -- Kira-kira 25,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman diiringi isteri Toh Puan Faridah Tussin tiba di majlis tersebut pada pukul 11.45 pagi, dan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri Datin Seri Juliah Salag.

Turut hadir barisan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya; serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew selaku pengerusi penganjur.

Hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan daripada Lembaga Kebudayaan Sabah, tarian singa daripada Persatuan Tarian Singa dan Naga Keong Fatt Sabah, Orkestra Cina Sekolah Menengah Tshung Tshin Kota Kinabalu, dan artis termpatan antaranya Jaclyn Chia serta Donald Guntabin.

Pada majlis tersebut, ‘God of Fortune’ turut menyampaikan ‘greeting scroll’ dan ‘kepingan emas’ sempena Tahun Baharu Cina kepada Musa, Hajiji dan para hadirin bagi mengalu-alukan kehadiran mereka.

Musa, Hajiji dan para hadirin kemudian bersama menggaul mengaul ‘yee sang’, suatu kelaziman menyambut perayaan itu yang melambangkan permulaan kemakmuran dan tuah baharu untuk semua.

Pada majlis itu juga, Musa, Hajiji dan barisan kabinet kerajaan negeri turut beramah mesra serta menyantuni para hadirin, sambil menyampaikan sumbangan dan Ang Pow kepada golongan warga emas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan