AM

ANGGOTA BOMBA LUAR KAWASAN DIKERAHKAN BANTU BINTULU - TIONG

30/01/2025 06:36 PM

BINTULU, 30 Jan (Bernama) -- Anggota bomba dari Sibu, Miri, Labuan dan Kota Kinabalu telah digerakkan untuk membantu operasi bencana di Bintulu. 

Tanpa mendedahkan jumlah anggota terbabit, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataan berkata mereka dijangka tiba esok.

"Dua bot laju daripada Pasukan Petugas Bantuan Bencana Wilayah Tengah Parti Demokratik Progresif (PDP) akan turut dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat," kata Tiong yang juga Presiden PDP.

Beliau yang meredah banjir dan hujan lebat berganding bahu bersama petugas membantu mangsa banjir pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina semalam, turut berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) kerana segera mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan 24 jam.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata menerusi koordinasi rapat antara Pejabat Residen, pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, tentera dan polis telah digerakkan dengan lancar bagi menjalankan usaha penyelamatan dan bantuan di kawasan terlibat.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak dan Pengerusi SDMC Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta anggota penyelamat dan pasukan bantuan," katanya.

Beliau turut memuji anggota PDP dan pasukan Pusat Khidmat P217 Bintulu yang segera mengerahkan bot mencari dan menyelamat ke kawasan terjejas banjir untuk memindahkan penduduk yang terkandas ke lima pusat pemindahan sementara (PPS). 

Menurut Tiong, susulan hujan lebat berterusan selama tiga hari dua malam, kebanyakan kawasan di Bintulu kini terjejas banjir dengan di lokasi paling teruk, paras air mencecah hingga tingkat dua bangunan.

"Ramai mangsa banjir terutamanya orang tua, wanita dan kanak-kanak, telah terkandas di kediaman mereka menunggu untuk diselamatkan," katanya.

Tiong berkata mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi beliau secara langsung di 019-956 5555, Pusat Khidmat Parlimen Bintulu P217 di 086-312979 atau Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri  Steven Kong Kai Seng (012-8049663) atau melalui 086-332222, 086-318233, 086-339781, 014-8821243 (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Beliau turut menasihati penduduk agar mengurangkan aktiviti luar dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kemalangan akibat arus deras banjir.

Lima PPS kini beroperasi di Bintulu iaitu PPS Pusat Sukan BDA Kidurong, PPS Balai Raya Jepak, PPS Stadium Muhibah, PPS Dewan Suarah Bintulu dan PPS Dewan SMK Assyakarin Sungai Plan.  

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan