KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza yang bakal dilancarkan selepas Ramadan ini bakal menjadi model pertama pembangunan wakaf Malaysia di Palestin sekali gus memperlihatkan bukti solidariti negara terhadap rakyat Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Sani Araby berkata inisiatif ini tidak hanya bantuan kemanusiaan, tetapi usaha mampan melibatkan solidariti rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penyokong utama perjuangan Palestin di pentas antarabangsa.
Beliau yang juga pengasas dan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza berkata projek berimpak tinggi ini berada di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan komitmen beliau sebagai peneraju ASEAN dalam memperjuangkan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.
"Pembangunan bandar wakaf ini bukan sekadar inisiatif bantuan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global. Ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia merangkumi semua bangsa dan agama yang menjayakan untuk bina semula Gaza," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar memaklumkan Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta, perniagaan, korporat dan rakyat.
Sani berkata keseluruhan anggaran untuk projek berkenaan kira-kira RM120 juta meliputi pemberian tanah wakaf seluas 35.2 hektar yang telah dimeterai perjanjian dalam Gaza pada Februari 2023 dan pihak sekretariat telah pun menerima persetujuan wakaf bernilai RM40 juta setakat ini.
Projek itu melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf mewakili semua negeri dalam Malaysia, sebuah masjid berkembar dengan Masjid Shah Alam, sebuah sekolah Malaysia, taman rekreasi, 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-Kredit Khardul Hasan, sebuah klinik kesihatan serta menara tangki air, menjadikannya satu ekosistem pembangunan lengkap dan mampan.
Beliau berkata beberapa komponen utama dalam pembangunan bandar wakaf itu turut disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) serta mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shahyang menitahkan dan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac tahun lepas.
Dalam pada itu, Sani memaklumkan MAPIM serta rakan sinergi Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Gagasan MyAqsa Defender berjaya membina 10 masjid di Gaza serta membantu membaik pulih semula hospital, sekolah, ruang ekonomi serta rumah yang menjadi antara pengalaman penting untuk kesinambungan projek ini.
"Malaysia telah lakar sejarah berjaya menghantar bantuan kemanusiaan siri demi siri dari Ops Ihsan, MAPIM hinggalah misi-misi khas termasuk merawat keluarga Gaza di Malaysia dan mengeluarkan keluarga Nadir Al-Nuri, tetapi kini komited dalam membangunkan semula Gaza dengan konsep wakaf yang mampan dan jangka panjang.
"Ini langkah ke hadapan dalam usaha kita memastikan rakyat Palestin dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA