AM

ANWAR LAWAT LOJI RAWATAN KUMBAHAN SERANTAU DI PAPAN, DAERAH KINTA

31/01/2025 08:53 PM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluangkan masa meninjau Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan yang menelan belanja RM2.02 bilion di Papan, daerah Kinta di sini, hari ini.

Kunjungan Perdana Menteri ke projek itu disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, turut melibatkan sesi penerangan berhubung kemajuan terkini projek infrastruktur itu.

Anwar meluangkan masa melihat sendiri beberapa peralatan yang digunakan dalam projek yang meliputi tiga pakej dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Beliau juga turut berkesempatan melawat satu daripada stesen pam kumbahan yang telah siap sepenuhnya di Taman Cempaka di sini.

Projek loji rawatan kumbahan berkenaan merupakan projek yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 dan berjaya disiapkan mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan.

Ketika ditemui pemberita, Fadillah berkata Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Papan yang memasuki pakej ke-3 itu, dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

“Pakej satu dan dua sudah pun siap (manakala) pakej tiga sekarang ini hampir 88 peratus siap.

“Ada sikit cabaran iaitu berhubung kait dengan tanah yang ada kaviti (tanah batu kapur) dan sebagainya, yang kita sudah minta Jabatan Mineral untuk membuat kajian dan pengesahan dan sekarang ini JPP (Jabatan Perkhidmatan Pembentungan) tengah membuat penilaian apakah langkah untuk siapkan projek ini,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Fadillah berkata keseluruhan projek tersebut akan memberi manfaat khususnya kepada penduduk kawasan Ipoh, sebahagian Gunung Rapat dan Menglembu apabila loji rawatan lama yang tidak efisien ditutup dan diganti dengan projek baharu ini.

“Dengan loji rawatan baru, jadi sudah pasti ia bukan saja dapat merawat tetapi juga memberi kesihatan, keselesaan kepada penduduk kawasan,” katanya.

Fadillah berkata projek tersebut dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi, melibatkan keselamatan pekerja dan kelestarian alam sekitar. 

“Jadi kita patuhi sepenuhnya, kontraktor (dan) pihak konsultan kita memantau memastikan semua SOP ini dipatuhi, insya-Allah kita dapat mengurangkan risiko sama ada berlakunya kemalangan, merosakkan alam sekitar dan juga (ketidakkeselesaan) kepada penduduk,” katanya. 

--  BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan