MIRI, 31 Jan (Bernama) -- “Pindah jak kamek tok (pindahkan saja saya ini)”. Itu antara kata-kata yang diterima Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg daripada penduduk Kampung Lereng Bukit yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa tiga hari lepas.
“Ini menunjukkan sudah ada keterbukaan hati penduduk untuk berpindah dan tinggal di tempat yang lebih selamat dan selesa,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat penduduk di PPS tersebut hari ini.
Abang Johari berkata seingat beliau sudah tiga kali kejadian tanah runtuh di Bukit Kanada itu yang mengorbankan nyawa hingga Ketua Menteri ketika itu Tun Abdul Taib Mahmud mahu memindahkan penduduk ke Kawasan Tudan.
Bagaimanapun, ada sebahagian penduduk ketika itu menolak atas alasan kawasan itu jauh dari pusat bandar raya.
Beliau berkata dengan kesediaan penduduk di kawasan Bukit Kanada itu untuk berpindah pada kali ini, kerajaan negeri akan membuat kajian untuk mengadakan penempatan semula di satu kawasan yang rata dan tidak jauh dari pusat bandar.
Abang Johari berkata penempatan baharu itu akan mencontohi apa yang ada di Skim Penempatan Semula Darul Hana di Kuching dan Kemuyang di Sibu yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur yang baik.
Beliau berkata penempatan semula seperti itu akan turut melibatkan Kampung Melayu di Kapit yang menghadapi masalah hakisan dan di Tatau, Bintulu yang sering dilanda banjir.
“Kita akan buat kajian dan kita minta kerjasama apabila kita sudah membuat keputusan kerana matlamat kita adalah untuk membantu mereka berpindah ke kawasan yang selamat agar tidak berulang lagi (kejadian buruk tidak diingini),” katanya.
Beliau berkata Kabinet akan berbincang mengenai perkara itu dan menyediakan peruntukan untuk pelaksanaannya.
Abang Johari berkata penduduk terbabit hanya perlu berpindah ke rumah yang siap dibina nanti tanpa perlu mengeluarkan apa-apa kos.
Sementara itu, beliau menambah Bukit Kanada yang tanahnya berpasir dan berliang akan dikekalkan menjadi kawasan hijau bandar raya Miri pada masa akan datang.
-- BERNAMA