KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri Kabinet hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025 kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook berkata sambutan Hari Wilayah tahun ini yang bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’, mengingatkan semua pihak bahawa wilayah itu milik bersama yang perlu dijaga dan dimajukan.
“Sebagai pusat pentadbiran ekonomi dan kebudayaan negara, Wilayah Persekutuan terus berkembang berkat usaha dan kesepakatan kita semua. Marilah kita teruskan semangat perpaduan dan kemakmuran ini, agar Wilayah Persekutuan kekal sebagai kebanggaan generasi akan datang. Wilayah Persekutuan Kita,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Wilayah Persekutuan merupakan contoh keunikan Malaysia dengan pelbagai bangsa, budaya dan agama hidup harmoni.
“Kita telah bersama-sama membina sebuah wilayah yang bukan sahaja maju, tetapi juga penuh dengan semangat perpaduan dan kemakmuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron juga menyeru rakyat untuk terus memperkukuh semangat kerjasama dan saling menghormati bagi memastikan Wilayah Persekutuan terus berkembang pesat dari setiap aspek.
“Semoga Hari Wilayah Persekutuan ini memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus berusaha dan berkhidmat demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21.
-- BERNAMA