EKONOMI

MAYBANK AKTIFKAN BANTUAN KEWANGAN BANJIR KEPADA PELANGGAN TERJEJAS DI SABAH, SARAWAK

31/01/2025 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Maybank mengulangi komitmennya untuk membantu individu yang terjejas serta pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui program Bantuan Kewangan Banjir berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda Sarawak dan Sabah baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata bantuan berkenaan disediakan di seluruh negara, bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan Maybank yang terjejas.

“Bantuan Kewangan Banjir Maybank direka untuk menangani cabaran yang dihadapi mangsa banjir termasuk, antara lain, penangguhan pembiayaan/pembayaran balik pinjaman, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik," katanya.

Selain itu, Maybank berkata ia turut menawarkan pengecualian yuran dan caj untuk perkhidmatan terpilih, seperti penggantian kad debit, kad ATM atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.

Ia berkata pelanggan boleh memohon bantuan melalui e-mel kepada floodrelief@maybank.com , atau melawati atau menghubungi mana-mana cawangan, pusat perbankan komersial atau pusat kewangan auto di seluruh negara. 

"Bagi pelanggan PKS, mereka digalakkan untuk menghubungi pengurus perhubungan mereka bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, ia berkata cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah untuk pemegang polisi insurans dan pemegang sijil takafulnya, tanpa borang atau dokumen sokongan yang diperlukan.

Pelanggan boleh melayari www.maybank2u.com.my atau menghubungi Talian Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688 untuk Bantuan Kewangan Banjir. 

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan