IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM200,000 disediakan bagi pelaksanaan pemberian baucar kelengkapan sekolah kepada 2,000 pelajar daripada keluarga B40 dalam Parlimen Tambun, hari ini.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata peruntukan berkenaan, diselaraskan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Shamsul Iskandar berkata pelajar yang terpilih berusia dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun, dengan setiap daripada mereka menerima bantuan sebanyak RM100.
“Apa yang dilakukan ini membuktikan bahawa kerajaan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk membantu meringankan beban keluarga di Tambun dan Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Peringkat Parlimen Tambun 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru Raya, di sini.
Shamsul Iskandar berkata bantuan berkenaan juga akan ditambah dari semasa ke semasa, selain melibatkan lebih ramai pelajar dalam kalangan keluarga B40, khususnya di kawasan Parlimen Tambun.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut berharap usaha itu akan diperhebat melalui sokongan atau bantuan daripada syarikat swasta serta badan korporat yang berminat melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Saya percaya lebih ramai membantu, lebih banyak manfaat yang diterima para pelajar ini khususnya dalam menyediakan barangan kelengkapan persekolahan sebelum sesi (sekolah) dibuka pada 17 Feb ini,” katanya.
Pembantu gerai makanan Nooraida Rina Hamidon, 46, menzahirkan rasa syukur dan lega kerana bantuan itu dilihat boleh membantu semua golongan terutama ibu bapa yang berpendapatan rendah.
Beliau berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan sekolah dua anaknya berumur 10 dan 12 tahun, yang telah menerima bantuan melalui inisiatif berkenaan sejak dua tahun lepas.
Peniaga pasar malam Ahmad Jasni Hashim, 45, pula berkata sumbangan itu membuktikan kerajaan komited dalam membantu meringankan beban ibu bapa sepertinya, yang hanya menjalankan perniagaan kecil.
Beliau berkata jumlah itu juga mungkin boleh ditingkatkan pada masa akan datang, berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang ditanggung saban tahun.
“Saya terima bantuan untuk tiga anak yang berumur 8, 12 dan 14 tahun. Kalau diikutkan lebih RM500 diperuntukkan kepada ketiga-tiga anak untuk kelengkapan sekolah.
“Dengan ada bantuan ini, ditambah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada Kementerian Pendidikan, maka sememangnya ia membantu saya untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya.
-- BERNAMA