AM

PAHANG METERAI ENAM MOU DENGAN PEMAIN INDUSTRI PERTANIAN AUSTRALIA

02/02/2025 12:44 PM

KUANTAN, 2 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pahang memeterai enam memorandum persefahaman (MoU) dengan pemain industri pertanian, penternakan dan perikanan di Australia dalam usaha menjadi peneraju sektor tersebut di Malaysia sekali gus mengukuhkan lagi keterjaminan makanan negara. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata MoU itu berjaya dimeterai semasa mengetuai Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia bermula 28 Jan lepas hingga 4 Feb ini.

Beliau berkata MoU itu membabitkan AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dan  Austrex Co bagi menjalin kerjasama strategik pembangunan industri daging wagyu di Pahang, sementara Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) dan ZML Agritrade PTY LTD pula, bagi melaksanakan projek ternakan kambing dan bebiri berkualiti tinggi.

“MoU itu juga melibatkan Rangkaian Delima Sdn Bhd dan JBS Australia PTY Limited bagi kerjasama dalam pengimportan, pengedaran, dan pembangunan produk halal berasaskan daging.

“Selain itu, MoU antara Rangkaian Delima Sdn Bhd, ZML Agritrade PTY LTD dan Australia Halal Authority and Advisers dalam memastikan rantaian bekalan halal yang patuh syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Rosdy berkata dua lagi MoU yang dimeterai ialah antara Yayasan Pahang dan ZML Agritrade PTY LTD yang bertujuan untuk melaksanakan pembangunan latihan, amali dan jaminan kerjaya anak-anak Pahang dalam pertanian, penternakan serta perikanan. 

Lawatan delegasi kerajaan negeri itu turut menyaksikan MoU antara Yayasan Pahang dengan Komuniti Islam Cobram bagi melaksanakan program Tafaqquh Fiddin, tenaga pengajar dan penyediaan bahan rujukan Islam.

“Dengan pemindahan teknologi dan kerjasama yang terjalin, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan keterjaminan makanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.

“Selain MoU, delegasi yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak ini juga melibatkan pelbagai pertemuan dan lawatan bagi memperkukuhkan sektor keterjaminan makanan negeri Pahang,” katanya.

Beberapa sesi lawatan teknikal itu membabitkan lokasi seperti Mainstream Aquaculture, Werribee Victoria untuk menerokai teknologi dan sistem penternakan ikan siakap serta Goulburn Valley Creamery dan ladang lembu Greater Shepparton untuk melihat proses penghasilan produk tenusu bersama Farm Fresh

“Kami juga melawat ladang ternakan lembu dan bebiri di Cobram yang diusahakan oleh anak jati Temerloh, Mohd Zaki Mat Li, serta ladang Fidlot Ulupna Pastoral untuk meninjau penternakan lembu wagyu dan angus berkualiti tinggi.

“Lawatan ke Rumah Penyembelihan Ternakan JBS pula untuk melihat proses penyembelihan dan pemprosesan daging yang mematuhi pensijilan halal oleh pihak berkuasa Australia, selain menyantuni komuniti Islam Cobram bagi mengeratkan hubungan serta memperteguh syiar Islam di luar negara,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan