AM

JS-SEZ BERI IMPAK POSITIF, BANTU TINGKAT JUALAN HARTANAH DI JOHOR - EXCO

02/02/2025 03:14 PM

KULAI, 2 Feb (Bernama) -- Impak positif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah membantu meningkatkan penjualan hartanah di Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Mohd Jafni berkata ia sekali gus menyumbang kepada penurunan jumlah hartanah yang tidak terjual terutama melibatkan pangsapuri servis.

“Setakat ini di Johor, sepanjang 2022 hingga 2024 penjualan rumah telah menunjukkan trend peningkatan lebih 15 peratus, daripada 102,438 unit pangsapuri servis yang dibina terdapat baki lebih kurang 11,810 sahaja tidak terjual dan peratusnya terus menurun.

“Kita melihat penjualan (pangsapuri servis) terus meningkat tahun lepas disebabkan JS-SEZ yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penjualan hartanah di Johor, pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Jafni yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Permai berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan sasaran 30,000 unit rumah mampu milik dibina menjelang 2026 tercapai, dengan meletakkan sasaran lebih 8,000 unit pembinaan pada tahun ini. 

“Setakat 2022 hingga 31 Dis 2024, sebanyak 13,461 unit rumah mampu milik telah diserah kunci. Justeru, tahun ini kita akan bina lebih 8,000 unit iaitu rekod paling tinggi pembinaan dalam masa setahun.

"Setakat ini hampir 2,000 unit telah dilancarkan melibatkan Iskandar Puteri, Mersing, Kluang dan Simpang Renggam, bakinya pula pada suku keempat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata pembinaan rumah mampu milik meliputi semua daerah yang separuh daripadanya  adalah di Johor Bahru dengan tumpuan kawasan Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

Terdahulu, seramai 950 orang pelajar termasuk dari keluarga berpendapatan rendah menerima sumbangan barangan persekolahan dan wang tunai daripada Yayasan Sejahtera Kulai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan