AM

BUKU "THE 365 DAYS IN ASTANA". KISAH PERANAN UNIK WAN JUNAIDI DALAM SEJARAH SARAWAK

03/02/2025 12:00 AM

KUCHING, 2 Feb (Bernama) --”Buku “The 365 Days in Astana”: Kisah dan Potret Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan sekadar koleksi gambar tetapi merupakan naratif yang merakamkan intipati tanggungjawab, rasa hormat dan dedikasi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peristiwa yang direkodkan dalam buku itu menggambarkan serta mentakrifkan peranan terhormat Wan Junaidi, menyampaikan kisah yang sarat dengan nilai sejarah dan hubungan manusia.

"Setiap potret menceritakan sebuah kisah, memberikan pembaca gambaran tentang pelbagai tanggungjawab yang melangkaui perhatian umum, daripada memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk Sarawak sehinggalah mewakili negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Astana Negeri Sarawak, kediaman rasmi serta pusat pentadbiran Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri, menjadi latar belakang yang megah bagi perjalanan bermakna ini.

"Ia melambangkan khazanah warisan Sarawak, di mana sejarah dan kemodenan bergabung secara harmoni. Di dalam ruangannya, pelbagai perbincangan mengenai pemerintahan, budaya dan masa depan berlangsung," katanya semasa majlis pelancaran buku berkenaan di Dewan Undangan Negeri malam ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata buku ‘Pejuang Sejati: Dari Rimba Ke Astana’ mengisahkan perjalanan hidup serta sumbangan Wan Junaidi, yang bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemimpin berintegriti dan berwibawa, malah sebagai negarawan yang komited terhadap pembangunan Sarawak dan kesejahteraan rakyatnya.

"Sepanjang kerjaya beliau, sama ada sebagai pengamal undang-undang, ahli politik, menteri, mahupun sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi sentiasa menampilkan kebijaksanaan, kesederhanaan dan keprihatinan yang luar biasa.

"Buku ini bukan sekadar mendokumentasikan perjalanan kerjaya dan pencapaian Tun Dr Wan Junaidi, tetapi turut mengangkat nilai kepemimpinan, ketabahan dan cinta terhadap tanah air yang wajar menjadi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang," katanya.

Kedua-dua buku istimewa ini mengisahkan  perjalanan serta kisah hidup Wan Junaidi dari permulaan kerjayanya sehingga pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan