ALOR SETAR, 3 Feb (Bernama) -- Sejumlah 164,612 penumpang menggunakan perkhidmatan feri dari laluan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Perlis bersempena cuti persekolahan dan sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Left Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata jumlah penumpang yang dicatatkan itu adalah dari tempoh 16 Jan hingga semalam.
"Dari laluan Langkawi ke Kuala Kedah jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri ialah 31,117 orang manakala dari laluan Kuala Kedah ke Langkawi sebanyak 33,708 orang.
"Sementara itu, dari laluan Langkawi ke Kuala Perlis jumlah penumpang ialah 48,784 orang manakala dari laluan Kuala Perlis ke Langkawi sebanyak 51,003 orang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam tempoh sama, tambahan 49 perjalanan feri telah dibuat iaitu lapan perjalanan masing-masing bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Kedah ke Langkawi.
"Bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis pula tambahan 17 perjalanan feri manakala bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi tambahan 16 perjalanan," katanya.
-- BERNAMA