AM

MOTAC BATAL LESEN SYARIKAT AL QUDS UMRAH & TOURS (M) SDN BHD

03/02/2025 01:52 PM

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours (M) Sdn Bhd berkuat kuasa 24 Jan lepas.

Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman berkata tindakan tersebut selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

"Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusaha pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MOTAC menggantung lesen syarikat berkenaan bermula 9 Julai 2024 hingga 19 Jan 2025.

Dilaporkan syarikat terbabit terpalit dengan kes penipuan umrah dan setakat ini, kebanyakan mangsa masih menunggu untuk mendapatkan pampasan mereka.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan