JENAYAH & MAHKAMAH

405 KENDERAAN BARANGAN KENA TINDAKAN DALAM OPERASI JPJ

03/02/2025 06:19 PM

SEREMBAN, 3 Feb (Bernama) -- Sebanyak 405 kenderaan barangan dikenakan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina-Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan.

Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf berkata sebanyak 1,870 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh operasi itu iaitu sebelum perayaan pada 27 dan 28 Jan serta selepas perayaan pada 1 dan 2 Feb.

"Hasil pemeriksaan, JPJ mengesan 1,006 kesalahan dengan kesalahan tertinggi melibatkan kesalahan teknikal kenderaan sebanyak 230.

“Kesalahan lain antaranya tiada lesen memandu (159 notis), tiada perlindungan insurans (132), lesen kenderaan motor tamat tempoh (127) dan lain-lain kesalahan (226),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang operasi terbabit, sebanyak 19 kenderaan turut disita.

Hanif Yusabra berkata berdasarkan statistik, tahap pematuhan larangan pemanduan kenderaan barangan semasa musim perayaan didapati masih rendah dengan pelbagai alasan diberikan antaranya tidak mengetahui mengenai larangan pemanduan kenderaan berat.

Beliau berkata operasi dilakukan itu sejajar dengan usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan jalan raya akibat percampuran trafik kenderaan barangan dan persendirian semasa musim perayaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan