KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mencatatkan peningkatan hari ini ketika pelabur meningkatkan simpanan stok komoditi mereka berikutan kebimbangan terhadap tarif perdagangan baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Kontrak semerta Januari 2025 meningkat kepada US$2,794.0 setiap auns troy daripada US$2,791.50 setiap auns troy ketika ditutup pada Jumaat.
Kontrak Februari 2025 menokok kepada US$2,802.50 setiap auns troy daripada US$2,754.10 setiap auns troy.
Kontrak Mac 2025, April 2025 dan Jun 2025 kekal stabil pada US$2,815.10 setiap auns troy, meningkat daripada US$2,762.60 setiap auns troy pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan melonjak kepada 53 lot daripada sifar pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka menaik kepada 78 kontrak daripada 25 kontrak sebelumnya.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 31 Jan, harga emas fizikal berada pada US$2,812.05 setiap auns troy.
-- BERNAMA