AM

PESARA MANFAAT KEMAHIRAN AUTOCAD HASILKAN BARANGAN KULIT

04/02/2025 11:52 AM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 4 Feb (Bernama) -- Memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada, seorang bekas penolong pegawai seni bina menggunakan sistem AutoCAD untuk menghasilkan pelbagai barangan kulit bagi menjana pendapatan sampingan selepas bersara sejak tiga tahun lepas.

Roslan Mohamed, 63, berkata sebelum berkecimpung dalam bidang itu secara serius, dia menjadikan platform media sosial iaitu Facebook dan Youtube sebagai sumber rujukan untuk mempelajari kaedah serta teknik dalam penghasilan barangan kulit.

Ternyata perancangan itu membuahkan hasil apabila dia kini tidak 'menang tangan' untuk menyiapkan tempahan termasuk daripada Sabah serta Sarawak seperti beg tangan wanita, dompet, tali pinggang, jam tangan, topi, sarung kunci kereta, sarung pistol dan sebagainya.

"Saya mendapat idea untuk menghasilkan pelbagai barangan kulit ini sewaktu melancong di Bandung, Indonesia pada tahun 2017. Ketika itu, saya ada membeli satu beg sandang kulit berharga sekitar RM300 namun selepas tiga bulan menggunakannya saya berasa hampa sebab ia mula mengelupas.

"Sejak dari itu, saya menjinakkan diri dalam penghasilan barangan kulit yang pada awalnya hanya sekadar untuk kegunaan diri sendiri," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Panchor, Kemumin, di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada seorang anak itu berkata pada mula dia menghasilkan tanda nama serta lanyard untuk ke tempat kerja bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka hasil tangannya itu mendapat permintaan rakan sekerja sehingga mendapat tempahan sebanyak 30 lanyard dan mereka juga secara tidak langsung mempromosikan barangan itu kepada orang lain.

"Dengan adanya kemahiran menggunakan sistem AutoCAD untuk melakar pelan rumah dan sebagainya, saya kini mempraktikkan sistem itu untuk menghasilkan barangan kulit.

"Kebiasaannya mereka yang menghasilkan barangan kulit ini akan menggunakan teknik pola dalam menghasilkan reka bentuk yang diingini dan akan memakan masa yang agak lama sedikit berbanding menggunakan sistem AutoCAD yang lebih mudah serta menjimatkan masa," katanya.

Roslan yang merupakan pemilik Lan Craft berkata setiap barangan kulit yang dihasilkan akan mengambil masa sekitar sehari hingga seminggu bergantung kepada saiz serta reka bentuk.

"Jika jenis barangan kulit itu bersaiz kecil seperti sarung kunci kereta saya boleh siapkan dalam masa sehari sehaja malah saya akan guna kulit jenis pull-up leather, saffiano, crazy horse dan vegetable tanned leather yang dijual pada harga RM30 hingga RM1,500.

"Pemilihan jenis kulit dalam penghasilan produk juga sangat penting untuk memastikan kesesuaiannya apabila di tangan pengguna, sebagai contoh, kulit jenis saffiano sesuai untuk tas tangan wanita kerana menyerupai jenama mewah manakala jenis vegetable tanned leather pula sesuai untuk dompet lelaki memandangkan ia semakin lama semakin berkilat," katanya.

Mampu menghasilkan 20 produk dalam sebulan, Roslan turut mengambil upah untuk membaiki barangan kulit yang rosak.

"Saya mengusahakan perniagaan ini secara dalam talian iaitu menerusi Facebook milik akaun saya iaitu 'Lan Craft' dan pelanggan juga boleh datang ke rumah saya untuk sebarang tempahan.

“Sekiranya tempahan dilakukan secara dalam talian, pelanggan diminta untuk menghantar gambar reka bentuk yang diingini serta ukuran yang diperlukan sebelum dihantar kepada pelanggan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan