PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Mantan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baharu, berkuat kuasa 30 Jan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Arman Rumaizi, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012.
Dalam bidang ketenteraan, beliau juga pernah menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota dan Panglima Markas 2 Divisyen Pulau Pinang, serta dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada mantan Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018.
“Dengan pengalaman dan reputasi kepimpinan yang dimiliki Arman Rumaizi, kementerian yakin beliau berupaya meneraju dan memperkasakan tadbir urus UPNM.
“...terutama dalam mengukuhkan pentadbiran organisasi, pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan, bagi melahirkan bakat terbaik negara khususnya dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.
Pelantikan Arman Rumaizi sebagai Naib Canselor UPNM ke-8 itu bagi menggantikan Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad yang bersara pada 29 Jan, selepas memegang jawatan tersebut sejak 19 Jun 2023.
-- BERNAMA