AM

BERNAMA TV PERLUAS PROGRAM UTAMA , FOKUS PERNIAGAAN DAN EKONOMI

04/02/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Bernama TV memperkukuh barisan program utama dengan Ruang Bicara: Aspirasi Ekonomi dan The Nation: Diplomatic Dispatch bagi memperdalam perbincangan mengenai perniagaan, pelaburan dan diplomasi ekonomi.

Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali berkata inisiatif itu, mencerminkan komitmen saluran untuk menyampaikan analisis yang boleh dipercayai dan mendalam, berhubung hala tuju ekonomi dan diplomatik Malaysia.

“Program ini menyediakan platform penting kepada penggubal dasar, peneraju industri dan orang awam untuk turut serta dalam perbincangan bermakna yang membentuk masa depan Malaysia,” katanya di sini hari ini. 

Program Ruang Bicara: Aspirasi Ekonomi yang bersiaran pada Jumaat ini, bermula 9 malam hingga 10 malam akan menampilan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Perbincangan itu akan menumpukan kepada industri semikonduktor Malaysia, Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) dan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat-China.

Program The Nation:Diplomatic Dispatch pula yang ditayangkan 3 petang ini, menampilkan Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia Lisualdo Gaspar sebagai tetamu pertamanya.

Program itu yang menumpukan kepada hubungan luar Malaysia dan diplomasi ekonomi, akan terus menampilkan tokoh serta figura dalam bidang diplomatik dan perniagaan.

Nor Hamzeela berkata Bernama TV mengalu-alukan pihak kedutaan, wakil perdagangan dan pelabur untuk menggunakan platform itu bagi tujuan dialog serta kerjasama.

Untuk pertanyaan, boleh berhubung menerusi talkshows.btv@gmail.com.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan