Oleh Norhayati Mohd Akhir & Amanina Mohamad Yusof
PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter mampu meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan pegawai dan mendatangkan impak positif kepada kementerian atau jabatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias.
Bercakap kepada Bernama, Badrul Hisham berkata JPN telah melaksanakan inisiatif itu sejak tahun lepas melibatkan 499 pegawai termasuk 279 petugas kaunter di seluruh negara.
“Kita (JPN) sentiasa melakukan pusingan kerja memandangkan ada sesetengah jawatan dan tempat sensitif.
“Inisiatif ini terbukti (positif) sebab apabila kita berada di sesuatu tempat untuk tempoh yang lama, sampai suatu masa prestasi kita akan menurun. Jadi inisiatif ini kita akan teruskan kerana ia bawa kesan positif kepada pegawai dan jabatan,” katanya.
Badrul Hisham yang dilantik ke jawatan itu pada 28 Feb tahun lepas berkata seramai 65 pegawai termasuk 53 petugas kaunter JPN terlibat bagi fasa pertama inisiatif berkenaan untuk tahun ini.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu bukan sekadar menyahut saranan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sebaliknya mengambil kira konsep ‘Ihsan’ yang terkandung dalam kerangka Malaysia MADANI.
“Di JPN kita terap nilai kasih sayang, kerana ia akan menyumbang kepada peningkatan prestasi perkhidmatan,” katanya.
Penolong Pegawai Pendaftaran JPN Atiqah Idham berkata inisiatif yang dilaksanakan itu, dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan petugas kaunter di jabatan itu.
Selaku pegawai yang bertanggungjawab menyelia petugas di kaunter JPN, penjawat awam berusia 39 tahun itu berkata inisiatif berkenaan juga dapat meningkatkan motivasi serta produktiviti anggota perkhidmatan awam.
“Walaupun kita dalam satu jabatan, kita mungkin hanya tahu tentang bahagian kita sahaja. Jika kita ditukarkan, kita boleh belajar prosedur kerja unit lain yang mungkin belum kita ketahui sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata dengan adanya inisiatif penggiliran kerja, ia bukan sahaja memberi faedah kepada petugas yang lebih berpengalaman, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk menjadi lebih fleksibel dan mahir dalam pelbagai bidang selain meningkatkan kualiti perkhidmatan di kaunter dan memberi kesan positif terhadap kepuasan pelanggan.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini mendapati, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang dinikmati semasa berurusan dengan jabatan itu.
Seorang pelanggan yang datang untuk memohon lesen memandu antarabangsa Zahra Nurlieyana Zulkipli, 30, meluahkan rasa puas hati dengan kelancaran proses di kaunter JPJ.
Beliau berkata penggiliran petugas di kaunter memberi kesan positif, kerana setiap petugas mempunyai pengetahuan yang luas tentang urusan di bahagian lain serta mengelakkan situasi pelanggan yang terpaksa berpindah dari satu kaunter ke kaunter lain, seperti ‘bola sepak ditendang ke sana sini’.
“Proses di kaunter sangat lancar, tiada gangguan dan petugas di sini cepat memberi maklum balas. Saya rasa penggiliran kerja sangat bagus kerana semua petugas tahu apa yang berlaku di setiap bahagian, jadi saya tidak perlu menunggu lama atau keliru dengan urusan saya," katanya.
Penjawat awam, Fendi, 52, berkata walaupun banyak urusan JPJ boleh dilaksanakan di kiosk, namun beliau cenderung untuk hadir ke kaunter kerana dapat mengajukan pertanyaan secara terus kepada pegawai bertugas.
“Pegawai di kaunter sangat membantu melancarkan urusan saya. Mereka nampak lebih bersemangat dan urusan saya pun tak sampai 30 minit dah selesai,” katanya yang hadir ke JPJ bagi urusan pembaharuan lesen memandu dan memohon lesen memandu fizikal.
Terdahulu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata pelaksanaan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter melibatkan semua kementerian termasuk jabatannya bermula hari ini, bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.
Inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian kemahiran kerja dan memperkasakan pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan lebih cekap serta mesra.
Pelaksanaan pusingan kerja itu melibatkan semua kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan beberapa kementerian lain.
-- BERNAMA