EKONOMI

INDUSTRI SAWIT PERLU FOKUS PRODUK BERNILAI TINGGI, KURANG BERGANTUNG EKSPORT MENTAH

04/02/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Malaysia perlu beralih kepada produk bernilai tinggi seperti oleokimia dan biodiesel, dan bukan sekadar bergantung kepada eksport minyak mentah tanpa strategi nilai tambah yang kukuh.

Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata Malaysia masih terperangkap dalam dilema ‘volume versus value’ (kuantiti berbanding nilai jualan). 

“Walaupun eksport ke Kesatuan Eropah (EU) hanya menyumbang 14 peratus daripada jumlah eksport sawit Malaysia pada 2023, kadar premium EU secara sama rata lebih tinggi berbanding pasaran India dan China.

“Selain memandang India dan China sebagai pasaran volum, kita juga perlu melihat EU sebagai pasaran volum yang memberi nilai tinggi.

“Tambahan pula, EU juga kekal sebagai pemegang utama eksport minyak isirung sawit sejak lima tahun berturut turut,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Shahar turut memandang tinggi usaha terkini kerajaan untuk memperbetul persepsi dan stigma minyak sawit Malaysia dengan EU dan Amerika Syarikat akibat Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dan larangan import.

“Usaha promosi dan komunikasi berterusan mesti dilipat ganda sehingga ke peringkat pelaksana dasar bukan sekadar di peringkat pembuat dasar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata strategi pengurusan baharu bagi industri sawit negara masih belum mencapai potensi sebenar meskipun Malaysia memiliki standard kelestarian bertaraf dunia seperti pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

 Beliau menekankan bahawa harga minyak sawit mentah Malaysia masih terdedah kepada turun naik mendadak dan mudah terjejas oleh spekulasi pasaran global sedangkan kualiti MSPO diiktiraf sebagai antara yang terbaik di peringkat global

“Jika kita lihat, Indonesia sebagai pengeluar utama sawit dunia telah melaksanakan Dasar Biodiesel Mandatori B35-B40 sejak 2020 untuk menstabilkan permintaan domestik.

“Harga di pasaran domestik mereka lebih stabil berbanding Malaysia yang masih bergantung kepada 80 peratus eksport mentah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan