KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Hari pertama sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Ahli Parlimen yang mengambil bahagian membangkitkan pelbagai isu dengan majoritinya menyentuh soal ancaman penipuan dalam talian dan masalah keselamatan siber.
Antara tumpuan pada sesi itu ialah saranan kepada kerajaan untuk meneroka keperluan mewujudkan akta yang mewajibkan bank dan penyedia perkhidmatan pembayaran untuk membayar balik mangsa penipuan Pembayaran Tolakan yang Dibenarkan (APP) yang baru diperkenalkan di United Kingdom baru-baru ini.
Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata akta berkenaan mewajibkan institusi kewangan untuk menjamin keselamatan transaksi digital serta melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berwajib dengan lebih efisien.
“Saya mohon kerajaan meneroka keperluan akta itu untuk diwujudkan di Malaysia dan turut mengambil langkah proaktif yang seiring memperkukuh infrastruktur keselamatan siber negara dan melindungi kepentingan awam daripada ancaman siber yang kian kompleks dan bersifat global,” katanya ketika membahaskan usul itu.
Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia berkata isu keselamatan siber telah menjadi suatu permasalahan yang semakin mendominasi dalam landskap geopolitik kontemporari, terutamanya dengan peningkatan jenayah siber bagi tujuan mencuri data peribadi dan kewangan.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu penipuan kewangan dalam talian termasuk yang melibatkan pelaburan dan penawaran peluang pekerjaan gaji lumayan di luar negara.
“Angka ancaman penipuan dalam talian yang diberikan menunjukkan kerugian sebanyak RM1.2 bilion bagi Januari hingga Oktober tahun lepas. Hal ini satu masalah yang besar yang akan mengganggu ekonomi negara.
“Penipuan kewangan dalam talian seperti penipuan pelaburan dengan menyamar menggunakan entiti korporat amat berbahaya dan ramai sudah menjadi mangsa,” katanya yang turut senada dengan Mohd Shahar untuk meminda akta atau penggubalan undang-undang baharu bagi mengatasi isu terbabit.
Selain itu, Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) berkata masalah pemalsuan identiti menerusi media sosial perlu ditangani kerana ia dilihat menjadi antara penyumbang kepada budaya fitnah dan hasutan dalam talian.
Beliau berkata terdapat kemungkinan individu yang menggunakan identiti atau akaun palsu itu mendapat tajaan daripada pihak tertentu bagi memburukkan kerajaan demi kepuasan politik dan membalas dendam.
Mohd Azizi turut mencadangkan supaya penggunaan serta transformasi teknologi digital terus diperkemas secara menyeluruh termasuklah mengoptimumkan sumber serta kerjasama silang kementerian dan agensi.
Senada dengan Mohd Azizi, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata kerajaan dengan pelbagai kementerian dan agensi wajar mengoptimumkan sumber selain memastikan akses teknologi dan Internet juga menjangkau kawasan luar bandar supaya ekonomi digital dapat menjana ekonomi negara dan pendapatan rakyat.
“Kita ingin melihat Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI), data raya dan blok rantai menjadi kebiasaan, bukan satu kemewahan,” katanya.
Wong Chen (PH-Subang) pula berkata Malaysia sebagai negara yang berkembang sebagai pusat data raya dan teknologi AI, tidak boleh terlalu bergantung kepada teknologi AI dari negara barat, sebaliknya perlu meneroka potensi teknologi sama dari negara lain seperti China.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA