AM

NAFAS: SYARIKAT SUBSIDIARI TIDAK BERFUNGSI AKAN DIGABUNG ATAU DITUTUP

05/02/2025 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Syarikat subsidiari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan distruktur semula melalui proses penggabungan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata penutupan syarikat yang tidak berdaya maju serta membebankan akaun kumpulan NAFAS juga akan dilaksanakan.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara lapan strategi dan hala tuju dalam merangka penambahbaikan NAFAS bagi memastikan pertubuhan itu dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.

“Kajian semula terhadap perniagaan dan projek semasa, turut akan dilaksanakan bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai strategi pembaharuan menyeluruh untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS serta memulihkan keyakinan ahli di samping memantapkan pengurusan serta operasi NAFAS.

Menjawab soalan tambahan Ronald berhubung isu edaran baja yang masih tertunggak di beberapa negeri, Arthur memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan NAFAS.

Menurutnya, jawatankuasa khas ini juga akan merangka cadangan pelan perniagaan NAFAS bagi tempoh lima tahun akan datang

Sebelum ini NAFAS telah digantung perlembagaannya berkuat kuasa 1 Nov 2024 kerana kepentingan am peladang itu sendiri dan sehingga kini semakan serta siasatan ke atas tatakelola dan tadbir urus NAFAS telah selesai dilaksanakan bagi mengenal pasti dan menambah baik pelaksanaan operasi serta pengurusan NAFAS.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan