DUNIA

LAPAN MAUT, 11 CEDERA DALAM KEMALANGAN DI PLAZA TOL JAWA BARAT 

05/02/2025 06:22 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Feb (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lapan maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan pelbagai kenderaan di Plaza Tol Ciawi di Jawa Barat pada Selasa, menurut polis tempatan. 

Kemalangan berlaku sekitar 11.30 malam waktu tempatan apabila sebuah lori membawa muatan air mineral merempuh beberapa kenderaan yang sedang beratur untuk membayar tol di laluan menuju Jakarta. 

Ketua Polis Trafik Kota Bogor, Pesuruhjaya Yudiono berkata siasatan awal mendapati nahas dipercayai berpunca akibat kegagalan brek. 

“Lori itu merempuh enam kenderaan di hadapan yang sedang beratur untuk membayar tol, mengakibatkan tiga daripadanya terbakar,” katanya dalam kenyataan. 

Semua mangsa dibawa ke hospital di Ciawi dan siasatan berhubung insiden masih diteruskan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan