AM

PERMOHONAN BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG 2025 DIBUKA HINGGA 28 FEB - JPA

05/02/2025 07:52 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Permohonan secara dalam talian bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 dibuka bermula 3 Feb hingga akhir bulan ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan program biasiswa berprestij itu terbuka kepada mahasiswa peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) sepenuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang strategik yang memberi impak besar kepada pembangunan negara.

Menurut JPA antara bidang yang tersenarai ialah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam dan kecerdasan buatan (AI) dengan calon berminat perlu menunjukkan potensi besar untuk menjadi pemimpin dalam bidang akademik dan profesional.

"Keutamaan diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan bukan akademik, serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi," menurut kenyataan itu hari  ini.

JPA memaklumkan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengemukakan permohonan melalui portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan