SUKAN

JDT DI AMBANG KEJUARAAN, BENAM PDRM FC 4-0

05/02/2025 10:58 PM

ISKANDAR PUTERI, 5 Feb (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk merangkul kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Skuad kendalian Hector Bidoglio berada di puncak kedudukan liga dengan mengumpul 55 mata, sementara Selangor di tangga kedua dengan perbezaan 16 mata.

Skuad Harimau Selatan itu hanya perlu mengutip mata penuh ke atas Perak FC di laman sendiri pada hujung bulan ini bagi mengesahkan kejuaraan meskipun berbaki lima perlawanan.

Terdahulu, perlawanan malam ini menyaksikan JDT mendominasi permainan berdepan PDRM FC, iaitu satu-satunya pasukan yang berjaya mengikat juara bertahan 1-1 ketika aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu.

Penyerang Jorge Leonardo Obregon Rojas meledak gol pembukaan seawal minit ke-14 selepas menerima hantaran Heberty Fernandes.

JDT mempunyai peluang untuk menggandakan jaringan selepas La’vere Lawrence Corbin Ong dijatuhkan Mohammad Imran Samso, namun sepakan percuma yang disempurnakan Juan Muniz Gallego tersasar dari gawang pada minit ke-22.

Sepakan percuma PDRM FC menerusi Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zulpatah pada tujuh minit kemudian turut tersasar, sekali gus mensia-siakan peluang terhidang buat pasukan itu mencatatkan jaringan.

Bagaimanapun, JDT selaku juara bertahan terus menerus melakukan asakan untuk mendahului 2-0 apabila Corbin Ong menanduk masuk sepakan sudut Juan Muniz Gallego pada minit ke-39.

Babak kedua menyaksikan Jese Rodriguez Ruiz memberikan gol ketiga buat JDT pada minit ke-54 selepas menyudahkan hantaran lintang Junheong Park, manakala Romel Oswaldo Morales Ramirez melengkapkan jaringan terakhir pada minit ke-81.

Keputusan kekal 4-0 sehingga tiupan wisel penamat.

PDRM FC bimbingan P. Maniam kini menghuni tangga ketujuh liga dengan 21 mata selepas 18 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan