JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN PERAK RAMPAS LEBIH 5,000KG TEPUNG GANDUM DISIMPAN MELEBIHI HAD DIBENARKAN

06/02/2025 09:25 AM

IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 5,875 kilogram tepung gandum dari sebuah premis memproses pelbagai jenis biskut atas kesalahan menyimpan barang kawalan itu melebihi had simpanan yang ditetapkan.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata penguatkuasaan melalui operasi 'Kita Gempur' pada 10.30 pagi itu hasil pemeriksaan rawak di beberapa premis di sekitar Ipoh. 

"Siasatan awal mendapati memang kilang biskut di Gunung Rapat ini mempunyai permit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum pada had 5,000 kilogram sahaja. 

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan tepung gandum melebihi had dibenarkan iaitu 5,875 kilogram bersamaan 235 beg (guni) yang kemudiannya disita dan dianggarkan bernilai RM16,181," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kamalludin berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi dan menggalakkan orang awam untuk memberi maklumat dan aduan mengenai perkara ini.

"Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Bagi syarikat, denda maksimum RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan