AM

BUMBUNG UNIT HEMODIALISIS HOSPITAL PASIR MAS RUNTUH

06/02/2025 09:39 AM

KOTA BHARU, 6 Feb (Bernama) – Sebahagian bumbung Unit Hemodialisis di Hospital Pasir Mas runtuh dalam kejadian yang berlaku lewat malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Penolong Penguasa Bomba Mohd Azmi Husin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem MERS 999 pada 11.47 malam dan segera mengerahkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas ke lokasi.

Beliau berkata pasukannya tiba lima minit kemudian dan mendapati bumbung bangunan unit hemodialisis hospital berkenaan telah runtuh.

“Selain itu, pasukan bomba telah menjalankan penilaian keselamatan bangunan dan mendapati tiada risiko kebakaran, letupan atau pergerakan tanah di kawasan berkenaan. 

"Kami juga telah menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya untuk tindakan lanjut,  manakala punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan