AM

3,950 AKAUN PENGGUNA DI SIMPANG AMPAT ALAMI GANGGUAN BEKALAN AIR

06/02/2025 09:37 AM

GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Sebanyak 3,950 akaun pengguna Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di kawasan Simpang Ampat, dekat sini akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula esok hingga Sabtu.

PBAPP dalam kenyataan memaklumkan bahawa gangguan bekalan air itu di sebabkan kerja-kerja penyambungan akhir paip 300mm MS X 300mm MS di Jalan Merak 5, Taman Merak, Seberang Perai Selatan (SPS).

"Gangguan bekalan air itu akan bermula pada 10 malam esok hingga 6 pagi Sabtu, membabitkan 3,950 akaun pengguna di kawasan Taman Idaman, Taman Tambun Jaya,Taman Merak dan Taman Merak Jaya," menurut kenyataan itu dalam laman Facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu, PBAPP meminta pengguna yang terjejas untuk menyimpan air yang mencukupi bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

PBAPP akan mengemas kini status gangguan bekalan itu menerusi Facebook rasmi PBAPP Penang dari semasa ke semasa dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan