AM

KILANG PELURU PERTAMA MALAYSIA BANGUNKAN EKONOMI, WUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN - SULTAN PAHANG

06/02/2025 06:32 PM

LIPIS, 6 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah kilang peluru automasi tinggi pertama negara di sini, yang akan beroperasi sepenuhnya pada bulan depan dapat membangunkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. 

Al-Sultan Abdullah bertitah kilang yang diusahakan Ketech Asia Sdn Bhd (Ketech Asia) dan mampu mengeluarkan 60 juta butir peluru setahun bagi setiap kaliber itu, juga mampu menaikan nama negara khusunya Pahang di peringkat antarabangsa.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada pengusaha kilang dan ingin mengingatkan pihak syarikat harus beri kemudahan sebaik mungkin kepada pekerja dan untuk pekerja berkhidmatlah sebaik mungkin. 

“Bahan  (peluru) daripada sini juga dapat dijual di negara asing, secara tidak langsung meningkatkan nama negara khususnya Pahang dan Lipis di peringkat antarabangsa,” titah baginda semasa menyempurnakan majlis perasmian kilang berkenaan di sini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang merangkap Exco Kanan Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak. 

Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat kilang berkeluasan 40.4 hektar (100 ekar )itu dan mendengar sembah taklimat oleh pihak pengurusan kilang berkenaan.

Sultan Pahang turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh mendatangkan pelbagai manfaat melabur di negeri ini. 

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Ketech Asia A M Maharis Abdul Wahab memaklumkan kilang yang mengeluarkan peluru variasi 9 milimeter (mm) dan 5.56mm itu, dijangka akan memulakan produksi pengeluaran untuk pasaran tempatan pada pertengahan tahun ini.

Setakat ini, beliau berkata negara seperti Brunei, Singapura, Kemboja dan beberapa negara Timur Tengah telah menunjukkan minat untuk mendapatkan bekalan peluru daripada syarikat berkenaan.

“Penubuhan syarikat ini juga telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 100 penduduk tempatan dan dijangka menambah lebih 100 lagi tenaga kerja selepas kilang ini beroperasi secara 24 jam pada tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan