KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Setiap dasar yang dirangka berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
“Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan berkenaan.
“Mengambil kira bahawa perkara ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa JAKIM boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat itu tidak bersifat dasar,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional.
Sehubungan dengan itu, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama.
Mesyuarat JK HARMONI yang dijadualkan diadakan pada bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli-ahli yang terdiri daripada 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i).
Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuh keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia. Kerajaan MADANI menyedari bahawa kestabilan negara bergantung pada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana aman dan harmoni,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Mohd Na'im dilaporkan berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Beliau berkata ia sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
-- BERNAMA