KULIM, 7 Feb (BERNAMA) -- Sebuah premis runcit di Lunas dekat sini dikesan melakukan kesalahan menetapkan pembelian bersyarat bagi pembelian minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata pihaknya melakukan uji beli di premis terbabit menerusi Ops Sabur semalam, selepas menerima aduan mengenai tindakan peniaga berkenaan.
“Semasa uji beli dilakukan, seorang wanita berusia 30-an bertugas sebagai juruwang premis terbabit telah mengenakan syarat pembelian, yang pelanggan perlu membeli barangan lain bernilai RM15 sebelum boleh membeli dua peket minyak masak subsidi.
“Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan lanjut di premis terbabit dan mendapati terdapat sebanyak 2,006kg minyak masak peket 1kg berada dalam simpanan di stor premis tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Nizam berkata hasil pemeriksaan mendapati, premis terbabit mempunyai lesen menjual barang kawalan gula, minyak masak dan tepung gandum (GMT).
“Kesemua minyak paket yang dianggarkan bernilai RM5,015 itu disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.
-- BERNAMA