KANGAR, 7 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis akan menambah bekalan kelapa tua sebanyak 5,000 biji melalui penerimaan dua kali sebulan, sebagai antara inisiatif lembaga permasaran pertanian itu menghadapi Ramadan pada Mac depan.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata pada masa ini, pihaknya melaksanakan pelan intervensi bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga kelapa tua bermula Rabu lepas, dengan Pusat Operasi FAMA Negeri Perlis akan menerima 3,000 biji setiap bulan untuk peringkat permulaan intervensi itu.
Beliau berkata pusat operasi FAMA negeri itu akan menerima kelapa tua berkenaan daripada Pusat Operasi Simpang Pulai, yang dijadikan pusat pengumpulan zon utara.
“Bekalan yang diterima ini akan diedarkan di 24 outlet pemasaran FAMA iaitu Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat, serta enam orang pengusaha santan di seluruh negeri Perlis.
“FAMA akan bekerjasama dengan pemain industri untuk memastikan rantaian bekalan kelapa kekal mampan serta dapat memenuhi keperluan pengguna di negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Anzara berkata pelaksanaan pelan intervensi itu diharapkan dapat membantu pengguna, pengusaha santan, pemborong dan peruncit untuk menangani isu kekurangan bekalan dan ketidakstabilan harga kelapa.
-- BERNAMA