JENAYAH & MAHKAMAH

JALAN SEKITAR IPOH DITUTUP RABU INI SEMPENA PERARAKAN CAP GOH MEI

07/02/2025 08:10 PM

IPOH, 7 Feb (Bernama) -- Jalan di sekitar bandar raya Ipoh akan ditutup dan dilencongkan bermula 5 petang pada Rabu (12 Feb) bagi memberi laluan kepada perarakan Cap Goh Mei Tahun Baharu Cina 2025.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata perarakan kebudayaan kereta berhias diiringi tarian singa itu akan bermula di Ipoh Padang sebelum melalui laluan sekitar pusat bandar raya Ipoh dan akan berakhir di lokasi sama pada 9 malam.

Beliau berkata laluan terlibat yang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula dari Jalan Tun Sambanthan di Ipoh Padang, Jalan Sultan Yusuf, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana, Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Bijeh Timah.

Ini diikuti Jalan Persiaran Bijeh Timah, Jalan Sultan Yusuf, Jalan Dato' Maharajalela, Jalan Bandar sebelum berakhir di Jalan Tun Sambanthan, Ipoh Padang.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) daerah Ipoh menjangkakan kehadiran seramai lebih kurang 1,000 orang peserta yang akan menyertai perarakan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan sentiasa mematuhi arahan semasa petugas polis trafik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan