KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang pertama Datuk Seri Hazani Ghazali bersara wajib hari ini selepas 38 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Persaraan bekas pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) itu diraikan di Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, petang tadi.
Hazani memegang jawatan Pengarah JKDNKA pada 2012 hingga 2024 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 31 Jan 2024.
Turut hadir ke majlis berkenaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Majlis yang bermula 5 petang itu diserikan dengan persembahan Pancaragam PDRM dengan Hazani diberi penghormatan memimpin persembahan, diikuti deklamasi sajak dan diakhiri dengan street-lining oleh hadirin.
Hazani yang dilahirkan pada 10 Feb 1965 di Machang, Kelantan meniti tangga kerjaya dalam PDRM sebagai Pegawai Pemerintah Platun (BN 14 Kuching) pada 1988, sebelum ditugaskan menjadi Pegawal Gerakan (UTK, Bukit Aman) bermula 1989 hingga 2002.
Beliau juga melaksanakan amanah negara dengan cemerlang sehingga diangkat menjadi Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri (2017-2020), Pesuruhjaya Polis Sabah (2020-2021) dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman (2021-2024).
Di bawah kepimpinan Hazani, PDRM berjaya menumpaskan beberapa ancaman berkaitan militan dan keganasan terutamanya di timur perairan Sabah menerusi operasi bersepadu dengan agensi keselamatan lain.
Semasa bertugas di Sabah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, beliau memainkan peranan besar dalam menangani ancaman pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan yang sering menjadi perhatian di kawasan berkenaan.
Antara lain Hazani menyumbang kepada memperkukuh keselamatan negara, menangani ancaman keganasan termasuk mengetuai operasi membanteras jenayah rentas sempadan selain memainkan peranan penting dalam pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (Akta 860)
-- BERNAMA