JENAYAH & MAHKAMAH

THAIPUSAM: LEBIH 20 JALAN DI PUSAT BANDAR DITUTUP MULAI AHAD - POLIS

07/02/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Lebih 20 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula pada Ahad ini bagi memberi laluan kepada perarakan pedati bersempena dengan sambutan Thaipusam pada 11 Feb. 

 Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata penutupan dan lencongan akan bermula pada 9 malam bagi memberi laluan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S. Lee di sini menuju ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.

Beliau berkata jalan yang terlibat antaranya Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi.

Turut terlibat dengan penutupan dan lencongan ialah Jalan Raja Laut, Jalan Belia, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima) dan Jalan Kepong Baru.

“Perarakan balik pedati akan bermula pada Rabu (12 Feb) ini pukul 3 petang melalui laluan yang sama,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati seluruh warga kota terutama pengguna jalan raya agar merancang perjalanan sebaiknya dan mengelakkan daripada menggunakan jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan serta lencongan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat untuk menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau Hotline Trafik 03-2026 0267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan