KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Seramai 35 sarjana Chevening Malaysia kembali ke tanah air selepas berjaya menamatkan pengajian pascasiswazah di United Kingdom (UK), menandakan penutupan sambutan ulang tahun ke-40 Program Anugerah Chevening.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Tom Shepherd menganjurkan satu majlis pada Jumaat untuk menyambut kepulangan kumpulan pelajar 2023/24.
Shepherd berkata komitmen UK terhadap pendidikan dan pembangunan bakat global tetap teguh dan Program Chevening merupakan contoh yang sangat baik dalam hal ini.
“Dengan mengukuhkan hubungan antara UK dan Malaysia, alumni ini kembali bukan sahaja dengan pengetahuan dan kemahiran yang sangat berharga tetapi juga diberdayakan untuk memberi impak yang sebenar di Malaysia, menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara,” katanya melalui kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi itu.
Kumpulan ini menyaksikan 34 pelajar menamatkan ijazah Sarjana mereka serta seorang sarjana yang menamatkan program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford.
Mereka adalah kumpulan ke-40 alumni Chevening Malaysia sejak penubuhan program biasiswa itu pada 1983 dan kepulangan mereka turut menandakan berakhirnya sambutan ulang tahun ke-40 Anugerah Chevening yang berlangsung sepanjang tahun lalu.
Anugerah Chevening adalah program biasiswa global Kerajaan UK yang dibiayai dan diuruskan oleh Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan UK.
Program ini juga disokong oleh rakan korporat Malaysia termasuk Yayasan Khazanah, Yayasan CIMB dan Yayasan Jeffrey Cheah serta beberapa universiti di Britain.
Malaysia adalah penerima kedua terbesar anugerah Chevening di ASEAN dan 35 pelajar yang pulang ini kini menjadi sebahagian daripada 2,000 alumni Chevening di Malaysia.
-- BERNAMA