KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Simposium Gas Malaysia 2025 (MyGAS 2025) akan memberi tumpuan kepada cabaran kritikal yang dihadapi industri gas iaitu mendapatkan pembiayaan bagi projek berkaitan gas dalam landskap tenaga yang sentiasa berubah untuk memastikan keselamatan tenaga, kemampuan dan kemampanan.
Persatuan Gas Malaysia (MGA) berkata edisi keempat simposium bermula 13 Februari itu akan membincangkan mengenai cabaran paling menjejaskan industri, terutama jurang pembiayaan, keperluan pelaburan dan daya tahan industri bagi tempoh jangka panjang.
Presiden MGA Abdul Aziz Othman berkata gas asli kekal sebagai komponen penting sektor tenaga di Malaysia, menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri.
“Peranan kritikal gas asli dalam peralihan tenaga di Malaysia telah ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)
“Namun, persoalan utama kekal mengenai bagaimana industri ini mendapatkan pembiayaan diperlukan bagi memenuhi permintaan yang meningkat sambil mengikut arah peralihan tenaga, mengurangkan sumber asli dan meningkatkan pergantungan kepada import,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, MGA berkata MyGAS 2025 akan menyelami pelbagai cabaran pembiayaan dalam peralihan tenaga, khususnya perubahan dasar dan pandangan pembiayaan global daripada Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29).
“Dengan institusi kewangan yang semakin enggan membiayai projek bahan api fosil, simposium ini akan meneroka mekanisme pembiayaan inovatif bagi mengimbangi sasaran kemampanan dengan realiti ekonomi yang pesat membangun,” katanya.
Katanya, NETR yang dirangka Malaysia menganggarkan keperluan pelaburan sebanyak RM1.2 hingga RM1.3 trilion menjelang 2050 bagi membiayai projek peralihan tenaga, termasuk infrastruktur dan kemudahan gas asli, hidrogen, pemerangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan boleh diperbaharui.
“Pelaburan ini kritikal bagi mengekalkan dan mengembangkan infrastruktur sambil memastikan kemampuan dan kebolehcapaian sumber tenaga,” katanya.
MyGAS 2025 yang mengiktiraf dorongan global bagi tenaga boleh baharu, akan menekankan peranan berterusan gas asli dalam memenuhi permintaan tenaga dan menyokong pembangunan ekonomi, terutama bagi ekonomi pesat membangun seperti Malaysia dan rantau ASEAN.
Justeru, simposium ini akan menyediakan platform bagi membincangkan cara industri gas boleh menyesuaikan diri dan berinovasi serta kekal kompetitif dan mampan dalam dunia yang berubah-ubah.
Sementara itu, dengan Malaysia mengambil alih jawatan Kepengerusian ASEAN pada 2025, simposium tahun ini bersedia untuk menyumbang kepada siri dialog dalam kalangan industri mengenai pembiayaan tenaga dan pembagunan mampan.
“Simposium ini akan memupuk kerjasama antara penggubal dasar, pemimpin industri dan institusi kewangan bagi memastikan industri gas memperoleh pembiayaan diperlukan untuk menyokong operasinya dan menyumbang kepada keselamatan tenaga,” katanya.
Bertemakan “Fuelling a Sustainable Gas Industry's Transition”, MyGAS 2025 dijangka menarik kira-kira 250 penyertaan, antaranya penggubal dasar, pakar industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan serta dirasmikan oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
-- BERNAMA