PETALING JAYA, 8 Feb (Bernama) -- Tahun Baru Cina ini, Grab Malaysia meneruskan tradisi berkongsi kemeriahan perayaan menerusi inisiatif #GrabBersamaMalaysia.
Lebih 100 rakan pemandu dan rakan penghantar Grab mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan, menyantuni lebih 300 individu dari pelbagai rumah kebajikan, pusat penjagaan dan organisasi yang menyediakan perkhidmatan kepada warga Orang Kurang Upaya (OKU).
Kunjungan mereka telah membawa senyuman kepada penghuni rumah seperti Pertubuhan Kebajikan Shan De Johor Bahru, Rumah Orang Tua Uzur Pulau Pinang, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta di Ipoh, Pusat Jagaan Sayang Sayang di Alor Setar dan Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) Seremban di mana rakan-rakan Grab mengedarkan 'bai nian li wu' (hadiah perayaan) yang terdiri daripada barangan asas dan keperluan harian, sambil meluangkan masa bersama para penghuni untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan mereka.
Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo menekankan kepentingan inisiatif itu dalam memberikan kegembiraan dan sokongan kepada yang mereka yang sering ‘terlepas pandang’ oleh masyarakat.
“Musim perayaan adalah masa untuk kebersamaan. Ia sungguh mengharukan untuk melihat bagaimana inisiatif seperti ini membantu untuk memastikan tiada komuniti yang ketinggalan, terutama mereka yang sering dilepas pandang.
“Melihat senyuman dan keterujaan orang yang kami temui menjadi satu peringatan yang kuat tentang bagaimana amalan yang kecil boleh membawa perubahan besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Foo turut memuji rakan pemandu dan rakan penghantar Grab bersama para sukarelawan dan pekerja sosial atas dedikasi mereka dalam membantu merealisasikan inisiatif tersebut dan membawa impak positif kepada komuniti.
Sementara itu, rakan pemandu Grab dari Sungai Petani, Khairul Azman Mohamad Fauzee, yang telah bersama Grab sejak 2017, menyifatkan inisiatif itu bukan sekadar usaha kebajikan.
“Sebagai pemandu Grab, saya bertemu dengan ramai orang setiap hari - ada yang hanya memerlukan kenderaan untuk pergi daripada titik A ke titik B manakala yang lain mungkin memerlukan sedikit bantuan tambahan sepanjang perjalanan. Saya melakukan apa yang saya mampu untuk memudahkan perjalanan mereka.
“Inisiatif ini merupakan lanjutan daripada keinginan yang sama untuk membantu, di mana saya boleh menghulurkan tangan dalam kebaikan dan melihat sendiri kegembiraan yang datang daripadanya. Inisiatif seperti inilah yang membuatkan saya bangga menjadi sebahagian daripada komuniti Grab,” katanya dalam kenyataan sama.
Usaha berkenaan tidak berhenti di rumah kebajikan. Rakan pemandu dan rakan penghantar Grab turut melawat tempat berkumpul di sekitar bandar dan mereka berkongsi ucapan selamat serta mengedarkan 'gan' (limau mandarin) kepada lebih 600 rakan pemandu dan penghantar yang lain.
-- BERNAMA