AM

BANJIR SABAH, SARAWAK: BAIK PULIH SEKOLAH TERJEJAS LIBATKAN KOS BESAR

08/02/2025 12:16 PM

NIBONG TEBAL, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menjangkakan kos membaik pulih keseluruhan sekolah dan premis yang mengalami kerosakan akibat banjir di Sabah dan Sarawak melibatkan jumlah perbelanjaan yang sangat besar.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata jangkaan itu diperoleh berdasarkan pemantauan awal KPM yang mendapati banyak sekolah dan premis kementerian terbabit terjejas akibat banjir kali ini.

"Banyak sebenarnya tempat yang selama ini tidak pernah banjir, tetapi dilanda bah kali ini, jadi ada sekolah yang memang total loss (rosak sepenuhnya) dan sekarang kita sedang mengenal pasti keseluruhan premis KPM yang terjejas, begitu juga dengan kos yang terlibat.

"Kita jangka kos memang sangat besar kerana berdasarkan pemantauan awal menununjukkan bahawa premis yang terlibat dengan banjir sangat banyak … ia menyebabkan persiapan kali ini jauh lebih penting kerana tinggal seminggu lagi untuk memulakan persekolahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini.

Pada majlis itu, 100 murid menerima baucar bernilai RM150 setiap seorang untuk membeli peralatan persekolahan sementara TNB memperuntukkan RM75,000 secara keseluruhan kepada pelajar di Pulau Pinang menerusi program berkenaan. 

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata ketika ini kerja pembersihan di sekolah-sekolah yang terjejas dengan banjir giat dijalankan kerana pihaknya mahu memastikan murid dapat hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka.

"Apabila ada sekolah total loss, bermaksud perabot pun tak boleh digunakan, kemudian dari segi bangunan itu sendiri terjejas dan akan mengambil masa sedikit (untuk dibaiki), jadi sekarang ini kita sedang laksanakan semua pemantauan,” katanya.

Beliau berkata bagi sekolah terjejas banjir yang tidak sempat dibuka mengikut tarikh sesi persekolahan nanti, boleh menjalankan sesi pembelajaran secara dalam talian dengan guru-guru mempunyai persiapan termasuk modul aktiviti yang boleh dikendalikan. 

Sabah dan Sarawak dilanda banjir sejak hujung bulan lepas dan setakat pagi tadi, sebanyak 695 orang daripada 189 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah manakala di Sarawak pula 3,921 orang berlindung di 21 PPS.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan