GEORGE TOWN, 8 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing berumur 52 tahun kerana disyaki terlibat dalam cubaan mencuri di dalam pesawat, semalam.
Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada 12 tengah hari ketika pesawat terbabit dalam penerbangan dari Subang ke Pulau Pinang.
“Seorang penumpang mendapati individu tidak dikenali sedang membuka bagasinya. Pengadu segera memaklumkan perkara itu kepada kru penerbangan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.
“Hasil siasatan mendapati tiada barang berharga yang hilang, namun suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu di Facebook hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan perintah reman terhadap suspek akan dimohon di Mahkamah Balik Pulau bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA