KOTA BHARU, 9 Feb (Bernama) -- Biji getah yang gugur bertaburan sebenarnya boleh menjadi sumber pendapatan sampingan jika dikutip dan dijual kepada tapak semaian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Pekebun kecil dari Kampung Berdang, Gual Ipoh di Tanah Merah, Mohd Azlan Mat Noor, 51, berkata aktiviti mengutip biji getah kini menjadi pendapatan tambahan bagi pekebun sepertinya dengan harga jualan mencecah RM3.50 sekilo.
“Biasanya kami kumpul dahulu dalam 20 hingga 50 kilogram (kg) sebelum menjualnya kepada tapak semaian RISDA dengan harga jualan antara RM70 hingga RM170,” katanya kepada Bernama di tapak semaian RISDA Gading Galoh, Kok Lanas, dekat sini baru-baru ini.
Mohd Azlan berkata selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biji getah semakin berkurangan, menyebabkan mereka perlu berusaha lebih gigih untuk mencarinya.
Musim terbaik mengutip biji getah adalah sekitar Julai hingga Ogos ketika cuaca panas, manakala pada musim tengkujuh jumlahnya berkurangan dan kualitinya juga merosot akibat hujan.
“Jika musim tengkujuh, kami hanya mampu kutip empat hingga lima kg sahaja. Walaupun bukan keutamaan, aktiviti ini tetap dilakukan semasa menoreh kerana ia mampu menjana pendapatan tambahan.
“Bagi memudahkan pencarian, pekebun sering mengadakan gotong-royong membersihkan kebun agar kawasan tidak ditumbuhi semak,” katanya.
Sementara itu, Pengurus RISDA Semaian Kelantan Mohd Sakri Derahman berkata pihaknya menggalakkan pekebun kecil menjual biji getah kepada RISDA kerana benih tempatan lebih berkualiti dan mempunyai kadar kejayaan tinggi.
“Lebih sejuta benih getah diperlukan RISDA pada 2025, dan bagi menampung keperluan ini, kami membeli biji getah daripada pekebun kecil serta ladang swasta,” katanya.
Setakat ini, RISDA memerlukan 10 tan metrik biji getah dan usaha pembelian semakin rancak dengan promosi menerusi media sosial.
Beliau berkata sambutan terhadap inisiatif ini memberangsangkan dengan penyertaan pekebun kecil dari pelbagai daerah seperti Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Mohd Sakri berkata biji getah yang dibeli perlu segar, berkilat, berisi padat serta tidak disimpan melebihi seminggu untuk memastikan kadar percambahan tinggi.
“Saringan kualiti dilakukan dengan merendam biji dalam air, jika ia tenggelam menandakan ia masih segar, manakala biji yang timbul dianggap sudah kering dan tidak berkualiti.
“Proses semaian biji getah mengambil masa kira-kira 10 bulan sebelum menjadi benih siap untuk ditanam,” katanya.
– BERNAMA