PASIR MAS, 9 Feb (Bernama) -- Yayasan Muhibbah meneruskan komitmen dalam membantu masyarakat melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Panjang hari ini.
Pengarah Yayasan Muhibbah Lo Nyok Mooi berkata menerusi MoU itu, pihaknya akan menyalurkan sumbangan secara berterusan selama dua tahun bermula tahun ini sebagai kesinambungan kepada bantuan yang telah diberikan sepanjang musim tengkujuh hujung tahun lepas.
“Seperti yang kita sedia maklum, Rantau Panjang adalah antara kawasan yang paling terjejas setiap kali banjir. MoU ini adalah inisiatif susulan untuk memastikan bantuan dapat diteruskan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini adalah MoU pertama Yayasan Muhibbah dengan sebuah DUN. Menerusinya, sumbangan akan diberikan berdasarkan keperluan semasa, bukan sahaja tertumpu kepada bantuan bencana banjir tetapi juga meliputi keperluan lain seperti bantuan persekolahan, persiapan Ramadan, perayaan serta bencana lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU Food Bank Rantau Panjang di sini hari ini.
Nyok Mooi berkata sejak November tahun lepas, Yayasan Muhibbah telah mengagihkan tujuh treler bantuan bernilai RM1 juta kepada mangsa banjir dan menyasarkan untuk menyalurkan bantuan RM5 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.
Beliau berkata yayasan yang aktif sejak 2018 itu berjaya mendapatkan sumbangan daripada pelbagai syarikat korporat, termasuk dari Singapura dan Hong Kong melibatkan pelbagai barangan seperti makanan, alat tulis, perabot, minuman serta makanan sejuk beku.
-- BERNAMA