KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berjaya mengelak daripada menghuni tangga tercorot selepas menewaskan Trinidad dan Tobago 6-4 pada aksi penentuan tempat ke-11 dan ke-12 saingan Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Zatika Sport Centre itu, skuad bimbingan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi melakar kemenangan sulung mereka selepas tewas kesemua perlawanan peringkat Kumpulan B selain penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 sebelum ini.
Terdahulu, Trinidad dan Tobago memperoleh gol pembukaan hasil jaringan padang Mickell Pierre pada minit ketujuh, sebelum Darren Cowie menambah gol kedua selang tiga minit kemudian.
Malaysia bagaimanapun bangkit untuk mengejutkan pasukan lawan dengan meledakkan tiga gol, dua menerusi Muhammad Ashran Hamsani serta satu gol dijaringkan Abdul Khaliq Hamir pada suku kedua perlawanan.
Trinidad dan Tobago yang terkejut dengan kebangkitan Malaysia itu melancarkan serangan untuk menghasilkan dua lagi gol menerusi jaringan padang Teague Marcano (minit ke-20) dan Jordan Vieira (ke-21), sekali gus menjadikan kedudukan semasa 4-3.
Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mengikat 4-4 selang dua minit kemudian.
Skuad negara bagaimanapun memastikan perlawanan terakhir itu menjadi milik mereka apabila Abdul Khaliq dan Faridzul Afiq Mohd masing-masing menyumbang satu gol pada suku terakhir, sekali gus menutup kempen pada Piala Dunia 2025 di kedudukan ke-11.
-- BERNAMA