AM

TREND GUNA 'DUMMY BUCKLE' SEMAKIN MEMBIMBANGKAN - PENGARAH JPJ NEGERI SEMBILAN

10/02/2025 10:52 AM

SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Penggunaan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar atau 'dummy buckel' dan tidak memakai tali pinggang keledar dengan sempurna oleh pemilik kenderaan dilihat menjadi trend semakin membimbangkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata ini berikutan notis tertinggi yang dikeluarkan pada Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) adalah bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, iaitu 195 kesalahan dengan lebih 30 peratus daripadanya menggunakan aksesori berkenaan.

“Kita dapati pemandu suka memakai 'dummy buckle' bagi menghentikan penggera (jika tidak memakai tali pinggang keledar) dengan alasan tidak selesa dan terlupa, namun itu adalah kesalahan besar kerana boleh mengundang bahaya jika berlaku kemalangan.

“Penggunaan aksesori itu dilihat semakin meluas dan menjadi trend. Itu petanda kurang baik yang perlu diberi perhatian segera," katanya kepada pemberita selepas operasi khas sempena TBC di Plaza Tol Senawang semalam.

Sementara itu Hanif Yusabra berkata dalam operasi khas itu juga anggota penguatkuasanya membuat pemantauan ke atas 70 bas dengan cara menyamar sebagai penumpang, dan mendapati tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan pemandu kenderaan tersebut semakin meningkat.

Bagaimanapun beliau berkata masih ada pemandu melakukan beberapa kesalahan seperti memandu di lorong kanan berterusan iaitu 31 kes, menurunkan dan mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan (12 kes), tiada pemandu kedua (10 kes), menggunakan telefon bimbit (tiga kes), merokok (dua kes) dan tidak menyelenggara buku log (empat kes).

Beliau berkata pemeriksaan dan audit pematuhan operasi perkhidmatan bas di terminal pula menyaksikan 24 bas diambil tindakan dengan 38 notis dikeluarkan kerana ketidakpatuhan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan 12 notis di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan