KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat manakala di Sarawak mencatatkan penurunan pagi ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan setakat ini sebanyak 2,757 orang.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,223 orang daripada 382 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 1,034 orang daripada 322 keluarga, malam tadi.
Sebuah PPS baharu dibuka di daerah Beaufort menjadikan tiga PPS beroperasi di daerah itu, menempatkan 689 orang (227 keluarga), manakala 282 orang (72 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan dan 252 orang (83 keluarga) ditempatkan di sebuah PPS daerah Membakut.
“Trend pemindahan mangsa banjir di semua daerah kekal pada pagi ini,” menurut kenyataan itu.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan dengan 1,534 mangsa berada di PPS pagi ini berbanding 1,570 orang malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan setakat 8 pagi ini, 14 PPS masih beroperasi di negeri itu dengan empat yang aktif di Bahagian Bintulu menempatkan 612 mangsa berbanding 613 orang malam tadi.
Bahagian Mukah pula kekal merekodkan 603 orang di empat PPS, manakala jumlah mangsa di Bahagian Miri menurun kepada 288 orang di empat PPS berbanding 321 sebelum ini.
Sibu menjadi antara empat bahagian di Sarawak yang masih terjejas dengan bencana tersebut, kini mencatat 31 mangsa di dua PPS berbanding 33 orang malam tadi.
-- BERNAMA