FUKUSHIMA, 10 Feb (Bernama-Kyodo) -- Lebih 100 orang terkandas di dua hotel di kawasan peranginan mata air panas di Fukushima, timur laut Jepun, selepas runtuhan salji menghalang laluan, menurut pegawai pada Isnin.
Menurut Agensi Berita Kyodo, runtuhan salji itu berlaku sekitar 4 pagi di daerah Tsuchiyu Onsen yang terletak di kawasan pergunungan di barat daya bandar Fukushima.
Salji yang menutupi jalan telah dibersihkan kira-kira 10.20 pagi, namun satu lagi runtuhan salji berlaku sebelum tengah hari.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 160 orang menginap atau bekerja di dua hotel berkenaan dengan satu daripadanya merupakan penginapan tradisional Jepun. Tiada individu yang terperangkap dalam runtuhan salji pertama.
Wilayah Fukushima merupakan antara kawasan di Jepun yang dilanda salji lebat sejak minggu lepas.
Sementara itu, JR East menyambung semula perkhidmatan pada waktu pagi di laluan antara Stesen Fukushima dan Shinjo di Laluan Yamagata Shinkansen yang sebelum ini tergendala susulan kejadian kenderaan pengalih salji tergelincir.
-- BERNAMA-KYODO